Warga emas leka beli 129 liter minyak diesel tanpa permit
TELUK INTAN – Seorang warga emas yang leka membeli 129 liter minyak diesel di sebuah stesen minyak di Jalan Changkat Jong di sini dicekup penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak kira-kira pukul 8.02 malam semalam.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Cawangan Teluk Intan melaksanakan Ops Tiris di stesen minyak tersebut bagi membanteras aktiviti penyelewengan dan ketirisan barang kawalan minyak diesel.
Katanya, operasi itu adalah berdasarkan pemantauan dan pemeriksaan berhubung dengan aktiviti penyelewengan barang kawalan ke atas stesen-stesen minyak di sekitar Teluk Intan.
“Dalam pemeriksaan yang dilakukan, didapati seorang individu sedang leka mengisi minyak diesel ke dalam tong yang berada di atas kenderaan pacuan empat roda (4WD) di sebuah stesen minyak.
“Pemeriksaan yang dilakukan oleh pasukan ke atas individu tersebut, menjumpai sebanyak 129 liter minyak diesel di dalam tujuh tong yang berada di atas kenderaan 4WD miliknya,” katanya di sini hari ini.
Kamalludin berkata, seorang lelaki berumur 71 tahun yang mengaku membeli minyak diesel tersebut didapati gagal untuk mengemukakan sebarang surat kebenaran, lesen atau permit menyimpan barang kawalan daripada Pengawal apabila diminta oleh pasukan pemeriksaan.
Beliau berkata, sehubungan itu, tindakan selanjutnya telah dilaksanakan dengan menyita tujuh tong yang berisi 129 liter minyak diesel, tujuh tong kosong dan sebuah kenderaan 4WD dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM30,000.
“Kes akan disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki melakukan kesalahan memiliki atau menyimpan barang kawalan berjadual minyak diesel tanpa kebenaran bertulis daripada pihak berkuasa.
“Stesen minyak yang disyaki terlibat juga akan disiasat di bawah peruntukan sedia ada, termasuklah syor pembatalan Lesen Runcit Barang Kawalan Berjadual (CSA) barang kawalan minyak diesel jika didapati bersalah terlibat dalam penyelewengan ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source