Perjanjian Iklim Paris: Malaysia hormat keputusan AS, teruskan kerjasama dunia
KUALA LUMPUR – Malaysia akan terus bekerjasama dengan negara-negara dunia yang lain untuk mengangani isu perubahan iklim meskipun Amerika Syarikat (AS) meluahkan hasrat untuk menarik diri daripada Perjanjian Iklim Paris.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Malaysia dalam masa sama menghormati keputusan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berkait perkara tersebut.
Kata Nik Nazmi, pihaknya akan terus berjumpa, berkomunikasi serta mencari jalan terbaik dengan semua negara yang berkait berhubung isu perubahan iklim.
“Itu keputusan mereka (AS). Tetapi seluruh dunia kena terus bertindak mencari jalan untuk bekerjasama dan Malaysia akan terus berbincang dan jaga hubungan kita dengan semua negara yang kita jalinkan hubungan diplomatik termasuk AS.
“Kita akan teruskan komunikasi dengan pihak mereka. Pada masa yang sama, dengan negara-negara yang lain kita akan tingkatkan usaha kita dan cari jalan bagaimana kita dapat memastikan dan atasi serta membina satu masa depan yang berdaya tahan terhadap perubahan iklim dengan konteks keputusan AS itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Hasil Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC): Pelancaran Laporan Pembabitan Malaysia di UNFCCC-COP29 (Persidangan Ke-29 Pihak-Pihak) dan Laporan Ketelusan Dwitahunan (BTR) di sini hari ini.
Media antarabangsa sebelum ini melaporkan Trump, sekali lagi berhasrat menarik diri daripada Perjanjian Iklim Paris dan keputusan itu disenaraikan sebagai antara keutamaan penting.
Bagaimanapun, penarikan diri itu perlu dikemukakan secara rasmi kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan akan berkuat kuasa selepas tempoh setahun.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi komitmen Malaysia terhadap Perjanjian Iklim Paris yang mengetengahkan kesediaan negara mengambil langkah berani dan tegas dalam menjunjung tinggi nilai kemanusiaan dan memelihara kelestarian.
Beliau berkata, sebagai sebuah negara berbilang kaum, Malaysia bukan saja mempamerkan perpaduan di negara sendiri tetapi juga di platform serantau. – KOSMO! ONLINE
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source