Sindiket pengemis eksploitasi kanak-kanak perlu ditangani
KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak akan membiarkan negara dijadikan lokasi bagi operasi sindiket pengemis berleluasa terutama yang mengeksploitasi kanak-kanak.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihaknya bersedia untuk bekerjasama dengan kementerian berkaitan bagi mencegah kegiatan itu.
“Kita tidak mahu Malaysia digunakan sebagai tempat untuk sindiket pengemis seperti ini.
“Kami di pihak kementerian akan bekerjasama rapat dengan kementerian dan agensi berkaitan termasuk Kementerian Dalam Negeri untuk memastikan langkah pencegahan dan penguatkuasaan dilakukan secara efektif,” katanya ketika ditemui selepas Program Bicara Eksekutif Siri 1/2025 “Cabaran Menuju Ke Puncak Kepimpinan” di sini hari ini.
Nancy berkata, masyarakat turut diseru memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat mengenai aktiviti seperti itu.
“Dalam hal ini masyarakat juga diseru untuk memberi maklumat kepada kementerian yang berkaitan supaya mereka dapat bertindak.
“Tindakan tegas perlu diambil supaya sindiket seumpamanya tidak berani menjadikan negara kita sebagai pusat operasi mereka,” katanya.
Katanya, ketika ini imej negara perlu dijaga sebagai tuan rumah kepengerusian Malaysia pada Mesyuarat ASEAN 2025.
“Sebagai tuan rumah mesyuarat ASEAN, kita perlu menunjukkan bahawa Malaysia adalah negara yang bersih, selamat, dan teratur.
“Imej negara tidak boleh tercemar oleh aktiviti sindiket seperti ini,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan kejayaan Bahagian Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Bukit Aman menumpaskan sindiket pengemis dipercayai didalangi warga Yaman, minggu lalu.
Difahamkan, kegiatan itu mampu mengaut keuntungan sehingga RM3,000 sehari dengan mempergunakan kanak-kanak sebagai alat eksploitasi.- KOSMO! ONLINE
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source