Along Cham lepas tanpa bebas atas tuduhan miliki kanabis
SEPANG: Pelakon dan pelawak, Muhammad Nizamuddin Ahmad, 41, atau dikenali Along Cham terus sujud syukur di kandang tertuduh sejurus Mahkamah Seksyen di sini, semalam melepas tanpa membebaskan (DNAA) atas tuduhan memiliki dadah jenis kanabis pada 14 Disember lalu.
Bagaimanapun, Along Cham kemudian dituduh di Mahkamah Majistret atas dua pertuduhan masing-masing memiliki dadah dan mengambil dadah.
Terdahulu di Mahkamah Seksyen, Hakim Ahmad Fuad Othman memutuskan pertuduhan terhadap Along Cham sebagai DNAA.
“Pertuduhan kamu di bawah Seksyen 39A (2) ini DNAA. Kemudian kamu akan dituduh di Mahkamah Majistret dan tuduhan ke atas kamu diturunkan,” katanya.
Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Faraheen Yahya memohon pendakwaan tertuduh dipindahkan ke Mahkamah Majistret untuk dituduh mengikut Seksyen 39A (1) ADB 1952 susulan hasil laporan kimia.
Sebelum ini, Along Cham didakwa atas tuduhan memiliki dadah seberat 58.23 gram di sebuah rumah di Cyber 9, Cyberjaya, pada 14 Disember lalu.
Bagaimanapun, ketika itu, Along Cham mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu dan mahkamah menetapkan tertuduh tidak boleh dijamin kerana seksyen itu adalah kesalahan tidak boleh dijamin.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret pula, Along Cham berdepan dua pertuduhan masing-masing memiliki dadah jenis kanabis seberat 49.61 gram dan mengambil dadah jenis tetra hydrocannibol (THC).
Mengikut pertuduhan pertama, Along Cham dituduh mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) dan dihukum mengikut Seksyen 39A(1) ADB Akta yang sama.
Bagi pertuduhan pula, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, Along Cham didapati memasukkan dadah jenis THC dan oleh itu dituduh mengikut Seksyen 15(1)(a) dan dibaca bersama bersama Seksyen 38B akta sama.
Sebaik pertuduhan dibacakan, Along Cham mengangguk faham dan mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohamed Wafi Husain kemudian meminta tertuduh dikenakan wang jaminan RM8,000 bagi kedua-dua pertuduhan.
Peguam tertuduh, Kamal Hisham Jaafar kemudian meminta mahkamah meringankan wang jaminan kepada RM4,000 atas pelbagai alasan.
Kamal Hisham berkata, anak guamnya memberi kerjasama baik kepada polis kepada siasatan kes.
“Anak guam saya menghidapi tumor di leher dan memerlukan rawatan berkala dari semasa ke semasa. Dia juga menanggung anak lelaki berusia 14 tahun dan ibu berusia 64 tahun yang menghidap sakit kencing manis, darah tinggi dan jantung.
“Anak guam saya juga seorang artis dan kini pendapatan terjejas disebabkan kes itu,” katanya.
Muhammad Bukhori Md Ruslan kemudian menetapkan Along Cham dikenakan wang jaminan masing-masing RM3,500 dan RM1,500 beserta seorang penjamin manakala, sebutan semula kes ditetapkan pada 7 April untuk serahan laporan kimia.
Sebelum ini, Along Cham juga dituduh di mahkamah sama kerana memiliki ganja seberat 2.07 gram dan tarikh perbicaraan ditetapkan pada 28 Februari depan.
Turut hadir memberi sokongan kepada Along Cham di mahkamah termasuk isterinya, Afreena Suhaimi, ibu Along Cham dan beberapa kenalan artis iaitu Didie Alias dan Angah Raja Lawak. – UTUSAN
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source