Tiada kejutan, JDT mara ke final Piala Malaysia
ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) melangkah ke final Piala Malaysia dengan agregat 6-1 selepas meraih kemenangan 2-1 ke atas Terengganu FC (TFC) dalam aksi separuh akhir kedua, sebentar tadi.
Beraksi di Stadium Sultan Ibrahim, skuad Harimau Selatan yang selesa berbekalkan kemenangan 4-0 pada aksi pertama mempamerkan aksi bertenaga bagi memburu gol awal sekali gus meletakkan pasukan di kedudukan selesa.
Serangan bertali arus yang dilancarkan skuad kendalian Hector Bidoglio memberi tekanan terhadap benteng anak didik Badrul Afzan Razali yang terpaksa bekerja keras menangkis asakan berbahaya JDT.
Peluang terbaik JDT hadir seawal minit kesembilan apabila bola lorongan Arif Aiman Hanapi tepat kepada Bergson Da Silva namun rembatan penyerang kelahiran Brazil itu dihadang penjaga gol, Syed Nasrulhaq Syed Bidin.
Pada minit ke-15, giliran Sang Penyu mendatangkan cemas buat JDT setelah sepakan percuma Safwan Mazlan berjaya menewaskan penjaga gol, Christian Amat namun bola itu sedikit tinggi melewati palang gol.
Syed Nasrulhaq beraksi cemerlang menafikan beberapa percubaan pasukan tuan rumah termasuk rembatan Arif Aiman pada minit ke-28.
Kekebalan benteng TFC itu tidak bertahan lama apabila gerakan yang berpunca daripada sepakan lintang Afiq Fazail ditanduk Bergson kepada Heberty yang berada di dalam kotak penalti untuk melepaskan rembatan deras pada minit ke-31.
Seminit berselang, Skuad Penyu hampir menyamakan kedudukan menerusi Nelson Wilfredo Bonilla yang mencuri bola dalam kotak penalti dan menewaskan kawalan Amat namun gagal meletakkan bola ke dalam gawang JDT.
Sebelum tamat babak pertama, tiba giliran Jorge Obregon mencuri tumpuan yang mudah melepasi pertahanan terakhir TFC dan penjaga gol namun sentuhan penyudah yang tumpul menyaksikan percubaan keemasan itu tersia-sia begitu sahaja.
Bersambung babak kedua, TFC meningkatkan tempo permainan dengan lebih ofensif dan hasilnya berjaya merobek gawang JDT pada minit ke-58.
Hantaran lintang Ubaidullah Shamsul Fazili mencari Ismaheel Akinade dimanfaatkan pemain import itu apabila melepaskan sepakan voli dari sudut sukar bagi menewaskan penjaga gol JDT.
Lima minit berselang, pasukan pelawat hampir menambah jaringan namun percubaan Safwan Mazlan berjaya dinafikan oleh Amat.
Tersentak dengan jaringan itu, Arif Aiman kembali aktif mengatur serangan mengkucar-kacirkan benteng TFC namun umpanannya kepada gagal disudahi Obregon setelah sepakan yang diambil sedikit tersasar.
Romel Morales yang dibawa masuk oleh Bidoglio turut mempunyai beberapa peluang terbaik untuk menambah jaringan, namun tidak ada satu pun berjaya menewaskan Syed Nasrulhaq.
Ketika perlawanan hampir tamat, Heberty yang tidak dikawal sekali lagi mencipta sensasi apabila menjaringkan gol hasil rembatan deras dari luar kotak penalti menewaskan Syed Nasrulhaq yang seakan tidak menjangkakan rembatan tersebut.
JDT akan membuat perhitungan di pentas akhir antara Sabah FC atau Sri Pahang yang akan berentap dalam satu lagi aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia, esok.-UTUSAN
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source