Diuji 4 penyakit, Mak Jah bergadai, berhabis RM100,000 demi rawatan

‘KALAU saya sudah tiada, tolonglah sedekahkan al-Fatihah’. Sayu dalam nada tersekat-sekat, namun itulah ungkapan akhir Mak Jah mengakhiri pertemuan bersama.
Sepotong nama Maimunah Ahmad mungkin asing buat khalayak, namun sebut sahaja Mak Jah, barangkali hanya anak-anak Gen Z yang tidak pasti siapakah gerangan dimaksudkan.
Khalayak lain boleh saja membayangkan kelibat Mak Jah, yang cukup sinonim dengan drama dan filem Melayu.
Separuh abad mengabdikan diri dalam dunia hiburan, perjalanan seni Mak Jah sentiasa mengalir biarpun sekadar muncul dua atau tiga babak.
Mustahil namanya tidak melekat dalam ingatan, daripada watak ibu penyayang hingga nenek garang, setiap peranan dijelmakan dengan penuh keikhlasan.
Sepanjang hayat juga, sudah lebih 100 drama dan berpuluh filem pernah dijayakan, kredibiliti anak jati Beranang, Selangor sudah diketahui umum.
Namun, di sebalik pekerjaan yang sentiasa dilihat meriah, usia senjanya dilalui dengan ujian berat. Kudrat tidak segagah dahulu. Langkah kian perlahan malah bergelut dengan pelbagai masalah kesihatan.

– SYAKIR RADIN
Kencing manis, darah tinggi, radang saraf dan paling menyedihkan, kanser rahim menguji tubuhnya, sekali gus memaksanya berhenti berlakon, menutup pintu rezeki yang sudah sebati dengan jiwanya.
Secara perlahan dia hilang daripada radar industri, tenggelam dalam keperitan yang hanya dimengertikan diri sendiri.
Bertemu empat mata di kediamannya, Mak Jah tetap mesra, senyuman tidak pernah lekang biarpun tubuh sudah dimamah waktu.
Merisik khabar memulakan pertanyaan, Mak Jah memegang erat tangan penulis, matanya berkaca, bibir menguntum senyum penuh makna.
“Terima kasih sebab masih ingat saya,” ujarnya.

Tangisan Ramadan
Sempena bulan Ramadan, penulis lebih dahulu bertanya tentang kondisi kesihatan yang tidak lagi selincah ketika masih sihat.
Belum sempat soalan dihabiskan, mata Mak Jah berkaca, air matanya tumpah. Dada seperti berombak menahan sebak.
Ujar ibu kepada tiga anak itu, Ramadan kali ini jauh berbeza, tidak lagi mampu beribadah mahupun meraikan bulan mulia dengan sempurna, apatah lagi berkampung di pondok untuk mendalami ilmu agama.
“Selalunya kalau bulan Ramadan, saya masuk pondok untuk belajar agama tetapi bila sudah sakit macam ini, tak dapat masuk lagi. Saya tak boleh berdiri lama, badan pun tidak segagah dahulu.
“Ramadan tahun ini hanya mampu duduk di rumah. Nak pergi masjid pun tak boleh. Kalau saya dapat pergi untuk solat tarawih pun kena ada orang tolak dengan kerusi roda. Saya enggan menyusahkan sesiapa.
“Memang sedih. Tak tergambar dengan kata-kata. Ramadan bulan mulia, setahun sekali. Bila umur macam saya ni, mahu beribadah sahaja, tapi bila banyak kekangan, sebak sangat,” ujarnya sambil mengesat air mata.
Pelakon yang bermula sekitar era 1980-an itu reda malah percaya semua yang berlaku sudah tertulis indah buatnya.
“Kita kena ingat, Allah Maha Kaya, Maha Penyayang. Saya mohon pada Allah, walaupun sedih tak dapat beribadah seperti dahulu, saya tetap berserah, berlapang dada sehabisnya.
“Kini saya sudah ikhlas, di mana pun saya sujud, saya tetap bersyukur. Anak-anak pun kalau datang, kami bertarawih di rumah bersama-sama,” dedahnya.
Kendatipun kudrat sedang rapuh, Mak Jah tetap berniat khatam al-Quran pada bulan mulia ini.
“Bulan puasa ini, saya nak khatam al-Quran. Saya panggil ustazah datang rumah ajar mengaji. Setiap hari, selepas sujud, saya berdoa, ‘ya Allah, terangkanlah hati aku. Bantu aku memahami ayat-ayat suci-Mu.
“Maklumlah umur dah 77, bukan umur tujuh tahun. Sepatutnya saya yang pergi rumah ustazah, tapi saya tak mampu. Syukur, dia sudi datang mengajar,” tuturnya tenang.

penerbit Haji Zil.
Bergadai bayar rawatan
Kembali berbicara tentang kesihatan, Mak Jah sebenarnya terpaksa berhabis hampir RM100,000 termasuk menggadaikan barang kemas demi mendapatkan rawatan.
“Rawatan ini mahal. Ubat kanser tiada yang murah. Saya beritahu anak-anak, agar keluarkan duit yang ada. Saya memang sediakan duit untuk hari tua.
“Awalnya habis duit dalam RM68,000 tetapi tak cukup, saya gadai barang kemas dalam RM40,000 juga. Jadi, semua sekali hampir RM100,000,” katanya.
Dalam kesibukan menjalani rawatan, Mak Jah mendedahkan juga terpaksa menolak tawaran umrah yang ditaja sepenuhnya penerbit Haji Zil.
“Haji Zil Production nak taja saya pergi umrah. Sekali dengan penggambaran di sana.
“Ya Allah, syukur sangat masih ada orang ingat saya. Tapi saya tak kuat. Kaki tak larat nak berjalan lama.
“Saya fikir, saya ini dah pernah pergi umrah. Jadi, saya cakap dengan Haji Zil, bagilah peluang kepada orang lain yang belum pergi jejak ke Tanah Suci. Janganlah bagi saya,” luahnya.
Sebelum mengakhiri perbualan, Mak Jah sempat menitipkan pesanan buat khalayak yang mengenalinya, baik muda mahupun sudah berusia sepertinya.
“Kalau satu hari nanti kalau dengar berita saya dah tiada, tolonglah sedekahkan al-Fatihah. Itu saja yang saya minta.
“Saya tak tahu berapa lama lagi Allah bagi saya peluang bernafas.
“Kalau ada salah silap, kalau ada terkasar bahasa, saya mohon ampun,” tutupnya.

Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source