Anwar saran syarikat korporat, GLC laksana inisiatif sekolah angkat

CYBERJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan supaya syarikat korporat mahu pun syarikat berkaitan kerajaan (GLC) melaksanakan inisiatif ‘sekolah angkat’ bagi membantu membangunkan atau menaik taraf sekolah-sekolah di negara ini.
Menurut Anwar, beliau mahu syarikat-syarikat korporat berkenaan untuk sama-sama membantu kerajaan dalam menambah baik kemudahan tersebut demi kesejahteraan murid.
“Ada cadangan baharu, sekolah pada 2023 ada 8,600 tandas di sekolah di Malaysia. Bayangkan anak-anak kita, sekolah kita dengan (keadaan) fasiliti yang tidak boleh diterima.
“Jadi apa yang kita (semua) boleh buat adalah dengan menyelesaikan (bersama) dengan kerajaan ambil langkah ini (menambah baik tandas di sekolah) yang menelan kos RM1 bilion.
“Untuk sekolah yang terletak di Kuala Lumpur (yang berada) lima ke 10 minit dari residen anda, ini masanya kita bersama membangunkan fasiliti ini dan wajar ambil langkah bersama. Keutamaan saya adalah sekolah, hospital, projek mitigasi banjir yang memerlukan (kos) berbilion ringgit,” katanya ketika berucap pada Majlis Iftar Madani Perdana Menteri dan Menteri Kewangan bersama Syarikat Korporat dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) di Universiti Multimedia di sini hari ini.
Anwar berkata, beliau akan meminta Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) untuk menyelaras perkara tersebut bersama Kementerian Pendidikan (KPM).
“Kalau kita boleh dapat 200 sekolah yang dipantau secara langsung, (ini) akan banyak membantu,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menzahirkan harapan supaya syarikat korporat dan GLC mengambil penyertaan dalam program Kampung Angkat Madani sebagai usaha untuk memajukan dan membangunkan kawasan desa.
“Tiap pengurus besar, Tan Sri, Datuk Seri, ketua-ketua syarikat itu harus pilih kampung dia sendiri dan bangunkan bersama dengan sebahagian jentera kerajaan dalam usaha ini,” katanya.
Menurut Anwar, beliau yakin menerusi penyertaan daripada syarikat-syarikat ini membolehkan bilangan Kampung Angkat Madani dipertingkatkan kepada 400 buah berbanding sasaran asal 200 buah ketika ini.
Kampung Angkat Madani merupakan program bawah Dana Komuniti Madani (DKM) bertujuan untuk membantu komuniti desa memulakan projek ekonomi sendiri.
Kewujudan Kampung Angkat MADANI ini adalah bagi menoktahkan masalah kemiskinan selain memastikan kemudahan serta prasarana asas di kawasan desa dapat dilengkapkan. – UTUSAN
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source