Saksi tunjuk reaksi wajah ‘kosong’ Ismanira

PETALING JAYA – Saksi pendakwaan keempat hari ini setuju bahawa setiap orang masing-masing mempunyai reaksi dan riak wajah berbeza apabila berhadapan dengan sesuatu situasi.
Inspektor Nina Syamimi Syamsuddin, 33, yang merupakan bekas pegawai penyiasat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya mengakui perkara itu selepas bersetuju dengan cadangan pihak pembelaan yang mana reaksi wajah seseorang adalah berbeza.
Peguam: Inspektor juga tempoh hari ada beritahu mahkamah berkaitan wajah Ismanira adalah “wajah kosong”, boleh tunjuk kepada mahkamah wajah kosong “looks like” (nampak seolah-olah)?
Saksi: Reaksi muka wajah kosong
Peguam: Setuju saya cadangkan reaksi seseorang itu berkaitan dengan kes dan senario yang di hadapi tidak pernah sama semua
Saksi: Setuju
Peguam: Inspektor sedar atau tidak wajah inspektor ketika memberi keterangan (di mahkamah) dengan wajah inspektor buat demontrasi (wajah kosong Ismanira) adalah sama….sedar atau tidak
Saksi: Tidak
Saksi itu memberitahu demikian ketika pemeriksaan balas pihak pembelaan berhubung keterangannya sebelum ini yang mengatakan ibu Zayn Rayyan, Ismanira Abdul Manaf yang merupakan pengadu dan juga ibu dalam kes kanak-kanak autisme yang hilang seperti “kosong” dan tiada perasaan.
Dalam keterangannya terdahulu, saksi itu memaklumkan reaksi wanita itu dilihat ketika dia bertemu dengan Ismanira di Apartment Idaman, Damansara Damai untuk merakam percakapan pada pada 5 Disember 2023.
Pendakwa Raya: Kosong apa maksudnya?
Saksi: Pertanyaan saya tidak dijawab…maksud kosong tersebut adalah tiada perasaan, tiada sebarang reaksi pada ketika itu.
Sementara itu, saksi pendakwaan ke-23, Dr. Nur Hanisah Abd Nasir, 37, yang bertugas di Jabatan Otorhinolaryngologi (ORL) (turut dikenali sebelum ini Jabatan ENT) Hospital Sungai Buloh memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini,
Zayn Rayyan didiagnosa sebagai ‘receptive and expressive language delay’ tahap teruk berdasarkan rekod klinikal terapi pertuturan.
Ini kerana berdasarkan pemahamannya ketika menyediakan laporan perubatan Zayn Rayyan mendapati kanak-kanak itu tidak berminat dan tidak dapat mengikut arahan diberikan juruterapi pertuturan.
Dalam keterangannya juga, Dr. Nur Hanisah mengesahkan dia tidak mengendalikan Zayn Rayyan secara langsung tetapi laporan perubatan untuk pesakit itu dibuat berdasarkan rekod perubatan yang ada.
“Pesakit ini di bawa ke klinik ORL pada 23 September 2019 kerana mengalami jangkitan pada telinga sebelah kanan, sedang dirawat dengan antibiotik. Selepas diperiksa didapati pesakit juga mengalami keterlambatan bercakap atau ‘speech delay’, yang mendapat rawatan di Seremban dan baru berpindah ke Selangor, dan tidak pasti hasil rawatan dan ujian pendengaran yang dilakukan di Seremban,” katanya.
Perbicaraan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh bersambung lagi esok.
Semasa prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aqharie Durranie Aziz, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Nur Sabrina Zunair manakala peguam Haresh Mahadevan mewakili Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf.
Mengikut pertuduhan, Zaim Ikhwan dan Ismanira yang kedua-duanya berusia berusia 30 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka Zayn Rayyan Abdul Matin yang berusia enam tahun (ketika kejadian) didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source