Kerajaan Disaran Perkenal Lesen Influencer Media Sosial

Kerajaan disaran memperkenalkan lesen pempengaruh (influencer) media sosial sebagai kaedah kawal selia bagi menghindari unsur jelik, menghina, memfitnah dan menyentuh isu agama, raja dan kaum (3R).
Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi berkata melalui mekanisme pelesenan, pihak berkuasa boleh memperkenalkan garis panduan sebagai rujukan oleh para influencer.
Katanya, ketiadaaan garis panduan khusus pada masa ini menyebabkan ada influencer terlalu bebas bercakap sehingga menyentuh topik-topik sensitif seperti 3R dan memberikan fakta salah.
“Sebab itu saya kata influencer perlu dilesenkan, mereka perlu berdaftar dengan persatuan.
“Maknanya mereka ini akan dibantu oleh persatuan yang berperanan sebagai jambatan untuk memberi kefahaman berkenaan apa yang boleh dan tak boleh diperkatakan di media sosial,” katanya kepada Rotikaya.

Zed Zaidi
Zed Zaidi atau nama sebenarnya Rozaidi Abdul Jamil berkata, dalam usaha mewujudkan garis panduan itu, pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) perlu menganjurkan sesi townhall bersama para influencer dan pihak berkepentingan.
Beliau berkata, input-input yang diperoleh menerusi townhall itu boleh digunakan untuk menggubal garis panduan kepada influencer.
“Kita tidak boleh nafikan kemajuan teknologi terutama media sosial yang banyak manfaatnya sehingga boleh dijadikan platform menjana pendapatan kepada influencer.
“Tetapi penggunaannya perlulah dengan tanggungjawab. Tetapi dimana garis panduan untuk influencer ini? Sebab itu ada influencer yang bercakap sesuka hati dia.
“Seperti kes Ellie Suriaty dengan seorang influencer baru-baru ini. Influencer itu bukannya tahu etika kerana tidak pernah diajar apa yang boleh dan tak boleh cakap. Jadi dia main bedal sahaja.
“Ini berbeza dengan penggiat media yang faham etika. Ada masanya mereka hanya berkias dalam laporan, tak sebut nama orang terus untuk elakkan saman,” jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Zed Zaidi menyifatkan kompaun RM250,000 yang dikenakan terhadap Maestra Broadcast Network Systems Sdn Bhd (MBNS) selaku pengendali Era FM kerana memuat naik kandungan jelik ke akaun TikTok perlu dijadikan pengajaran dan rujukan oleh semua syarikat media.
Tegasnya, setiap syarikat media mempunyai tanggungjawab untuk tidak menyentuh isu-isu sensitif 3R yang boleh mencetus ketegangan dan memusnahkan keharmonian masyarakat majmuk.
“Keputusan MCMC mengenakan kompaun kepada MBNS adalah tindakan yang wajar. Perlu ada pengajaran dalam soal ini,” katanya.
Baru-baru ini tiga penyampai Era FM iaitu Nabil Ahmad, Radin dan Azad Jasmin mencetuskan kontroversi kerana dianggap mempersenda agama Hindu melalui satu video yang dimuat naik ke akaun TikTok rasmi stesen berkenaan.
Dalam pada itu, Zed Zaidi memuji trio penyampai radio itu yang berusaha memperbetulkan keadaan dengan membuat permohonan maaf walaupun kesalahan itu bukannya berpunca daripada mereka.

Radin, Azad Jasmin dan Nabil Ahmad sewaktu membuat permohonan maaf
Beliau percaya tiga penyampai radio itu tidak akan menyentuh isu-isu sedemikian sewaktu bersiaran secara langsung kerana mereka pasti tahu apa yang boleh dan tidak boleh dibuat.
“Kita amat bangga ada artis yang sanggup mengaku salah dan tidak menegakkan benang yang basah. Mereka terus memperakui benda ini walaupun bukan salah mereka.
“Mereka bercakap dan bergurau dengan kawan-kawan di luar waktu siaran tetapi pengendali TikTok Era yang memuat naik video sehingga mereka menjadi mangsa keadaan,” katanya.
Sementara itu Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dalam hantaran di laman X menjelaskan kekeliruan berhubung nilai kompaun dalam kes melibatkan Era FM dan pelawak Harith Iskander serta seorang pengguna media sosial, Cecelia Yap.
Katanya dalam kes Era FM, yang dikompaun adalah MBNS iaitu anak syarikat Astro yang mempunyai keuntungan substantif, bukannya individu.
“Kompaun RM250,000 MBNS diberi izin timbalan pendakwa raya berpandukan perkara di atas, dan kerana pindaan Akta 588 telah berkuatkuasa sejak 11 Februari (2025), dimana denda mahkamah maksimum telah naik ke RM500,000.
“Manakala kompuan RM10,000 Harith dan Cecelia diizin timbalan pendakwa raya, antara lain kerana kesalahan berlaku sebelum 11 Februari, di mana denda maksimum RM50,000 jika disabit di mahkamah,” katanya.
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source