601 banduan dipilih sebagai Orang Bebas Berlesen

KAJANG – Seramai 601 banduan dari 34 institusi penjara di seluruh Malaysia dipilih sebagai Orang Bebas Berlesen (OBB) menerusi Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani sempena Hari Raya Aidilfitri.
Pengarah Bahagian Parol dan Perkhidmatan Komuniti Jabatan Penjara Malaysia, Komisioner Penjara, Zainah Pardi berkata, daripada jumlah itu, seramai 25 orang merupakan banduan Penjara Kajang.
Jelasnya, paling ramai melibatkan banduan dari Penjara Kluang, Johor Bahru iaitu 68 orang dan hanya seorang banduan dari Penjara Sungai Petani, Kedah.
“Daripada jumlah itu, seramai empat orang adalah banduan wanita. Banduan paling muda berumur 21 tahun dan paling tua berusia 68 tahun.
“Program ini adalah sebahagian daripada inisiatif Ihsan Madani yang bertujuan memperkukuh hubungan kekeluargaan dan memberi peluang kedua kepada banduan yang menunjukkan perubahan positif.
“Jabatan Penjara percaya setiap individu berhak mendapat peluang untuk memperbaiki diri dan kembali berbakti kepada masyarakat. Ia juga merupakan usaha menyokong pemulihan banduan secara holistik.
“Semoga dengan pelepasan Ihsan Madani sempena perayaan Aidilfitri ini diharap akan memberi peluang kedua dan prospek tidak mensia-siakan peluang ini,” katanya dalam sidang akhbar sempena program PBSL di Penjara Kajang, hari ini.
Zainah berkata, PBSL melibatkan banduan yang menjalani hukuman tiga tahun dan ke bawah dengan sebahagian besar ditempatkan bekerja di syarikat swasta serta menerima gaji minimum yang ditetapkan oleh kerajaan.
Katanya, pelaksanaan PBSL sempena Aidilfitri ini melibatkan institusi penjara di seluruh negara dan kesemua banduan yang dibebaskan akan dipantau secara berterusan.
“Seramai 52 pegawai parol daerah akan membuat pemantauan terhadap OBB di seluruh negara.
“Ini bagi memastikan mereka mematuhi disiplin ditetapkan, berkelakuan baik, tidak melakukan perkara yang boleh membuatkan lesen ditarik balik serta tidak boleh keluar dari daerah yang ditetapkan,” katanya.
Mengenai tempoh menjalani PBSL, beliau berkata, setiap OBB akan menjalani program itu bergantung kepada baki hukuman yang masih perlu dijalani.
“Tempoh paling singkat bagi PBSL adalah 10 hari, manakala tempoh maksimum adalah dua tahun.
“OBB yang terpilih mestilah melepasi fasa pemulihan dalam penjara, berkelakuan baik, sihat dan layak bekerja,” katanya. – KOSMO! ONLINE
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source