Caj kesesakan hanyalah kajian, belum laksana lagi – Anthony Loke

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan (MOT) tidak bercadang untuk melaksanakan caj kesesakan ke atas kenderaan persendirian buat masa ini, malah menegaskan ia hanyalah satu kajian semata-semata.
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, cadangan mengenakan caj kesesakan itu hanyalah sebagai satu penyelesaian yang dilontarkan oleh pelbagai pihak bagi mengurangkan kesesakan di jalan raya khususnya di kawasan Lembah Klang.
Ujar beliau, perkara ini telah dibincangkan secara mendalam melalui Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JK-MKKJR).
“Topik cas kesesakan ini sudah lama dibincangkan, tetapi tidak pernah dilaksanakan kerana dari pihak kerajaan, kita merasakan belum matang dan sesuai lagi dengan keadaan pengangkutan awam di negara ini.
“Memang ada kajian lihat sejauh mana caj kesesakan ini boleh dilaksanakan, tetapi saya nak tegaskan, belum ada pelaksanaan lagi,” katanya dalam sesi Pertanyaan Jawab Lisan di Dewan Negara hari ini.
Anthony Loke juga menafikan tiada kajian cas kesesakan melibatkan kawasan di luar Lembah Klang seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.
“Saya nak tekankan, kajian cas kesesakan ini tidak melibatkan kawasan luar Lembah Klang. Ada laporan kata nak kenakan di Johor Bahru, Pulau Pinang. Memang tak ada, kajian ini hanya tertumpu pada kawasan Lembah Klang sahaja,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Anthony Loke berkata, MOT sedang melaksanakan kajian Pelan Strategik Pengangkutan Awam Lembah Klang (PSPA-LK) yang turut merangkumi kajian Origin-Destination (OD).
Beliau berkata, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) melalui kerjasama dengan Malaysia Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) juga sedang melaksanakan kajian mengenai pelaksanaan caj kesesakan yang merangkumi pelbagai aspek.
“Negara-negara maju hanya melaksanakan caj kesesakan setelah mempunyai sistem pengangkutan awam yang baik dan mampan.
“Selain itu, ia disokong oleh First and Last Mile Connectivity yang menghubungkan stesen pengangkutan awam dengan kawasan tumpuan serta Pembangunan Guna Tanah Mampan diintegrasikan dengan konsep Transit Oriented Development (TOD),” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Tan Sri Dato’ Low Kian Chuan yang bertanya jika kerajaan akan mempertimbangkan untuk melaksanakan cukai caj kesesakan pada ketika ini. – KOSMO! ONLINE
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source