Iklan raya Kementerian Perpaduan angkat nilai keharmonian, kekeluargaan

PETALING JAYA: Kementerian Perpaduan Negara menerbitkan sebuah iklan raya khas tahun ini melalui Pesanan Khidmat Masyarakat (PSA) yang mengetengahkan nilai perpaduan dan kepelbagaian budaya di Malaysia.
Iklan ini menampilkan pelakon Rosnah Johari sebagai Faridah dan Izzul Faiq sebagai Ismail serta pelakon-pelakon lain yang mewakili masyarakat berbangsa Cina, India, Sarawak dan Sabah.
Setiausaha Akhbar Menteri Perpaduan Negara, Dr. Shatesh Kumar Sangar berkata, iklan itu menyampaikan mesej mendalam mengenai erti kekeluargaan dan penerimaan perbezaan budaya dalam masyarakat.
“Iklan ini mengisahkan seorang anak tunggal lelaki, Ismail, yang berdepan dilema antara menjaga ibunya atau hidup berdikari seperti yang sering ditekankan dalam mentaliti masyarakat.
“Konflik bermula apabila rakan sekerjanya sering mengusik kerana masih tinggal bersama ibunya, sedangkan mereka yang berasal dari Borneo sudah lama hidup merantau dan berdikari.
“Namun, akhirnya, Ismail menyedari bahawa nilai kekeluargaan dan hormat kepada ibu bapa tetap menjadi pegangan semua kaum tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya dalam kenyataan.
Salah satu adegan bermakna dalam iklan ini menampilkan Lizzy, yang memasak untuk Faridah dan Ismail menggunakan periuk khas yang dibeli khusus untuk rakan-rakannya yang beragama Islam.
Adegan ini menggambarkan penghormatan terhadap sensitiviti agama dalam kehidupan seharian, seiring dengan semangat perpaduan di Malaysia.
Secara keseluruhan, iklan ini membawa tiga mesej utama dalam kehidupan bermasyarakat, iaitu Faham, Hormat dan Terima.
PSA ini disiarkan di pelbagai saluran televisyen seperti RTM, BERNAMA, TVS dan ASTRO serta melalui platform media sosial Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.
“Iklan ini bukan sekadar mengangkat nilai kekeluargaan, tetapi juga menyeru rakyat Malaysia untuk terus menjaga hubungan erat, menyuburkan budaya saling menghargai dan memperkukuh jati diri nasional.
“Dengan tema yang dekat di hati masyarakat, iklan ini diharapkan dapat menginspirasi rakyat untuk terus memperkukuh keharmonian dalam negara yang berbilang kaum,” katanya.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil turut menyokong siaran iklan ini dengan memberikan kebenaran untuk liputan media yang lebih meluas agar mesej perpaduan dapat disampaikan kepada seluruh rakyat Malaysia. – UTUSAN
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source