Malaysia atasi Nepal 2-0 – Utusan Malaysia

ISKANDAR PUTERI: Skuad kebangsaan mengorak langkah kanan dalam aksi pusingan ketiga Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 apabila menewaskan Nepal 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam tadi.
Kejayaan mengutip tiga mata itu memberi kelegaan buat Peter Cklamovski bagi perlawanan pertamanya sejak dilantik sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya, Disember lalu.
Anak buah kendalian pengendali kelahiran Australia itu menunjukkan permainan yang meyakinkan ketika berdepan dengan skuad kendalian Matt Ross sebaik minit pertama.
Harimau Malaya tampak selesa menguasai permainan namun gerakan demi gerakan yang dilancarkan tidak menemui sentuhan penyudah yang tajam.
Pemain tengah, Endrick Dos Santos mempunyai dua peluang yang dijelmakan oleh Arif Aiman Hanapi, namun percubaan yang dilakukan pemain naturalisasi itu sedikit lemah.
Arif Aiman turut mempunyai peluang untuk mencipta jaringan pada minit ke-25 namun rembatan deras yang dilepaskan sekadar menerjah jaring sisi gawang lawan.
Skuad Malaysia akhirnya memecah kebuntuan hasil jaringan pemain warisan Hector Hevel pada minit ke-30 setelah rembatan deras daripada luar kotak penalti terbias masuk ke gawang lawan menewaskan Kiran Kumar Limbu.
Jaringan itu mengukir senyuman buat Cklamovski selepas keputusannya untuk memberi penampilan sulung kepada pemain warisan itu membuahkan hasil.

Bersambung babak kedua, Malaysia terus garang melancarkan serangan ke kubu Nepal yang tetap dengan corak permainan bertahan walaupun gawang mereka telah dibolosi.
Morales dilihat tidak menjadi pada malam ini terlepas peluang mencipta jaringan berpunca daripada sepakan sudut pada minit ke-52 setelah tandukan yang dilakukan tersasar.
Skuad kebangsaan hampir menambah jaringan pada minit ke-57 namun sepakan bebas yang diambil Dion Cools sedikit tersasar dari penjuru atas kiri gawang.
Dua minit berselang, gerakan lincah Arif Aiman meloloskan diri dari kawalan pertahanan di sayap kiri gagal disudahkan Morales setelah tandukannya sekadar singgah ke tiang gol lawan.
Pada minit ke-70, Stadium Sultan Ibrahim sekali lagi bergema setelah Harimau Malaya meledak gol kedua perlawanan berpunca jaringan mudah Corbin Ong.
Gol yang dijaringkan pemain pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT) itu berpunca daripada situasi bola mati yang cantik yang mengelirukan benteng pertahanan The Gorkhalis.
Ini berpunca daripada sepakan bebas Endrick Dos Santos kepada Hector Hevel yang membuat umpanan kepada Arif Aiman Hanapi sebelum pemain sayap itu melorong bola kepada Corbin Ong yang tidak dikawal.
Jaringan Corbin Ong itu meletakkan skuad kebangsaan di posisi selesa sebelum Cklamovski membuat pertukaran pertama dengan membawa masuk Faisal Halim dan Paulo Josue menggantikan Dion Cools dan Romel Morales.
Harimau Malaya yang masih dahagakan gol rancak melancarkan serangan namun tidak ada pertambahan gol yang mampu dijelmakan sehingga wisel penamat. – UTUSAN
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source