Op Selamat: 554 lokasi kerap kemalangan, kesesakan dipantau

BANGI – Sebanyak 554 lokasi di lebuh raya serta jalan Persekutuan seluruh negara yang berisiko tinggi berlaku kesesakan dan kemalangan telah dikenal pasti susulan Op Selamat 24 sempena Aidilfitri.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata ia membabitkan 25 ‘hotspot’ dan 46 ‘blackspot’ di lebuh raya utama.
Selain itu, beliau berkata, sebanyak 407 ‘hotspot’ dan 76 ‘blackspot’ di seluruh negara dan daerah melibatkan jalan persekutuan, jalan negeri, jalan bandaran dan lain-lain jalan telah diberi perhatian oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Seramai 6,957 pegawai dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) akan dikerahkan bagi memastikan kelancaran lalu lintas sepanjang musim perayaan terutama di lokasi dikenal pasti itu.
“Anggota bertugas terdiri 871 pegawai kanan dan 6,086 anggota akan ditempatkan di lokasi strategik bagi mengawal keadaan trafik serta menjalankan pemantauan berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Mesyuarat Projek Kerjasama Strategik untuk Aktiviti Pendidikan dan Penyelidikan dalam Bidang Sains Forensik di antara Polis Diraja Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia, di sini hari ini.
Tambah Ayob Khan, anggota yang ditugaskan juga berperanan menunjukkan keberadaan pegawai dan anggota JSPT di lokasi ‘hotspot’ dan ‘blackspot’ ini.
Op Selamat 24 akan dikuatkuasakan bermula 29 Mac hingga 3 April depan, namun hampir 7,000 pegawai dan anggota JSPT akan mula menguruskan kelancaran lalu lintas melalui Op Lancar bermula Ahad lalu hingga 6 April ini.
Dalam pada itu, PDRM menasihatkan pengguna jalan raya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas serta bersabar ketika memandu bagi memastikan keselamatan semua pihak.
“Pengguna jalan raya juga disaran memastikan kenderaan mereka dalam keadaan baik dengan melakukan pemeriksaan fizikal sebelum perjalanan.
“Selain itu, pemandu dinasihatkan mendapatkan tidur mencukupi sebelum memulakan perjalanan jauh bagi mengelakkan risiko kemalangan,” katanya.- KOSMO! ONLINE
Desain Rumah Kabin
Rumah Kabin Kontena
Harga Rumah Kabin
Kos Rumah Kontena
Rumah Kabin 2 Tingkat
Rumah Kabin Panas
Rumah Kabin Murah
Sewa Rumah Kabin
Heavy Duty Cabin
Light Duty Cabin
Source